Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan melaksanakan kursus Pensijilan Jurulatih Lesen C di Kelab Diraja Selangor (RSC), Bukit Kiara, tidak lama lagi bagi meningkatkan lagi Program Kejurulatihan RSC.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata kursus tersebut akan dilaksanakan RSC dengan kos menyediakan tenaga pengajar ditanggung badan induk itu.
“Saya berharap RSC akan menerima tawaran kami dan menjemput kesemua ahli kelab-kelab lain di seluruh negara untuk menghantar jurulatih mereka bagi membolehkan mereka diberikan latihan yang sebetulnya dan sijil untuk menjadi jurulatih bola sepak.
“Kami di FAM sentiasa terbuka kepada usaha peningkatan tahap bola sepak di negara yang kita cintai ini,” katanya ketika berucap dalam Kejohanan Bola Sepak Junior Antarabangsa RSC-Datuk Chu Ah Nge Ke-15, hari ini.
Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Hamidin berkata sebagai permulaan, FAM menganggarkan 30 jurulatih akan mengikuti kursus berkenaan yang akan dijalankan tidak lama lagi.
"RSC mempunyai ahli yang ramai dan mungkin akan lebih ramai lagi yang akan mengikuti kursus ini. Selepas dapat lesen C, mereka mungkin boleh ke langkah seterusnya untuk dapatkan lesen A pula," katanya.
Dalam pada itu, mengenai penganjuran kejohanan peringkat akar umbi itu, Hamidin berkata FAM sangat gembira dengan RSC yang sangat tekal dalam mempromosikan sukan bola sepak, khususnya di peringkat akar umbi.
"Macam kejohanan hari ini, kita dapat lihat semua bangsa seperti Melayu, Cina dan India ada terlibat sama dan juga penyertaan pasukan antarabangsa. Kejohanan ini telah lama diperkenalkan dan saya hendak ucapkan syabas kepada RSC kerana berjaya menganjurkan kejohanan ini setiap tahun tanpa gagal," katanya.
Kejohanan dua hari itu menyaksikan 1,000 pemain berusia antara lapan hingga 16 tahun, yang mewakili 81 pasukan dari enam negara, mengambil bahagian bagi merebut Piala Cabaran Datuk Chu Ah Nge.
-- BERNAMA
Bernama
Sat Nov 30 2019