Bekas penyerang Chelsea dan Manchester United, Radamel Falcao, meneruskan aksi mantapnya di pentas Ligue 1 apabila membantu AS Monaco melakar kemenangan 3-0 ke atas Lorient pada Jumaat, sekaligus meletakkan pasukannya di persada liga.

Penyerang Colombia itu bergelut dalam tempoh dua tahun dalam Liga Perdana Inggeris sebelum ini, namun dia menampakkan kembali sentuhan berbisa apabila meledak gol kelima selepas tujuh penampilan musim ini.

Memasuki minit ke-60, Lorient hampir pasti mengekang jentera serangan Monaco, namun kemasukan Falcao menggantikan Kylian Mbappe Lottin mula memberi impak apabila menyumbang gol pembukaan pada minit ke-63.

Gol tersebut mula membuka ruang buat Thomas Lemar meledak gol kedua menerusi sepakan percuma empat minit kemudian sebelum Gabriel Boschilia menyumbang gol ketiga di hujung perlawanan untuk mengesahkan kemenangan.

Mereka kini mendahului Ligue 1 dengan 29 mata dengan kelebihan gol.