Kemudahan dan pembangunan yang dimiliki pasukan gergasi selatan tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT), menjadi punca pemain tengah skuad B-19 negara, Umar Hakeem Suhar Redzuan, memilih pasukan itu untuk meneruskan perjalanan kariernya.

Pemain berusia 17 tahun itu dilamar JDT selepas beraksi cemerlang dalam Kejohanan AFF B-19 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, Ogos lalu.

Menurutnya, dia akan menandatangani kontrak bersama pasukan itu selepas tamat pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Phnom Penh, Kemboja, bermula Sabtu ini.

Selain JDT, pemain muda itu turut menerima tawaran daripada Selangor.

"JDT merupakan satu pasukan yang kukuh.

"Satu (faktor) lagi ialah TMJ (Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim), yang amat bersemangat untuk membangunkan bola sepak di negeri itu.

"Jadi, saya rasa lebih baik menyertai pasukan yang banyak mengambil ilmu dari luar negara," katanya.

Sementara itu, pertahanan kiri skuad B-19 negara, Ahmad Zikri Mohd Khalili, lebih mengutamakan minit permainan dan memilih untuk menyertai Selangor berbanding JDT dan Pahang.

"Benar, JDT mempunyai fasiliti yang lebih baik tetapi saya memilih Selangor kerana mereka lebih berminat untuk mendapatkan saya.

"Saya juga memikirkan mengenai minit permainan dan saya rasa dengan memilih Selangor, permainan saya akan lebih cepat matang," katanya.