Cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini sedikit-sebanyak menjejaskan sesi latihan pasukan bawah 22 tahun negara, namun itu tidak mendatangkan kerisauan buat jurulatihnya, Frank Bernhardt.

Skuad muda negara itu tampak sudah biasa untuk menjalani sesi latihan dengan keadaan hujan lebat.

Bernhardt, bagaimanapun, terpaksa memendekkan waktu latihan jika cuaca terlalu buruk dan itu sedikit-sebanyak menjejaskan momentum pemain.

Jurulatih dari Jerman itu menjelaskan hari kelima sesi latihan itu semalam berjalan lancar berbanding sebelumnya, yang memaksa mereka berlatih dalam waktu yang singkat.

"Kami terpaksa menjalani latihan pada sebelah pagi kerana faktor cuaca. Ia merupakan latihan yang bagus dan kami mempunyai satu lagi latihan esok," katanya.

Memandangkan kem latihan skuad Sukan Sea 2017 itu akan berakhir Sabtu ini, Bernhardt akan memastikan anak buahnya dapat mempersiapkan diri sebaik-baiknya sebelum terbang ke Myanmar bagi menghadapi aksi persahabatan pada Disember depan.

"Untuk perlawanan berdepan Myanmar, Disember ini, kami terpaksa berunding dengan kelab pemain masing-masing kerana ada yang sedang membuat persiapan untuk musim baru. Kemungkinan akan ada perubahan pemain nanti."