Pemain skuad B-19 negara, Fakrul Iman Naszari, lebih selesa beraksi di bahagian serangan sehingga meledakkan hatrik dalam aksi persahabatan menentang Taiwan di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini.

Skuad negara meraih kemenangan 5-0 dalam aksi pemanas badan itu menjelang pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Phnom Penh, Kemboja minggu depan.

Fakrul Iman mengakui dia gagal menyerlah dalam Kejohanan AFF di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, Ogos lalu kerana diletakkan di bahagian tengah.

Namun, pemain berusia 18 tahun itu menjaringkan hatrik ketika diletakkan di posisi serangan skuad kendalian Brad Maloney itu

"Ia rezeki saya kerana dapat bermain di posisi asal.

"Sebelum ini, saya diletakkan di posisi tengah tetapi posisi asal saya adalah penyerang.

"Saya berasa lebih selesa (di posisi itu)," katanya.

Pemain skuad Piala Belia Selangor itu belum meletakkan dirinya dalam zon selamat bagi merebut slot 23 pemain terbaik yang akan dipertaruhkan di Kemboja dan bertekad untuk terus membuktikan kemampuannya dalam sesi latihan.

"Kami ada 27 pemain dan masih dalam sesi pemilihan.

"Saya mencuba yang terbaik dalam perlawanan dan selepas menjaringkan hatrik, saya berharap akan terpilih.

"Saya perlu merebut tempat kerana kesemua kawan-kawan saya memang bagus," tambahnya.