Fakhrul Zaman masih setia di KUFC

Oleh Farizal Yusoff 21 November 2019 1428
Fakhrul Zaman masih setia di KUFC
Peminat setia Kelantan United FC (KUFC) boleh menarik nafas lega apabila penyerang sensasinya, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, mengesahkan akan kekal beraksi bersama juara Liga M3 itu musim depan.

Fakhrul Zaman, yang dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga M3 dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 baru-baru ini, mengakui ada pasukan lain mencuba untuk merisiknya tetapi dia mengambil keputusan untuk kekal bersama kelab yang berpangkalan di Kota Bharu itu.

"Sekadar khabar angin sahaja sedangkan hakikatnya saya belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana pasukan.

"Insya-Allah, saya mahu kekal bersama KUFC dan berharap dapat mencipta lebih banyak kejayaan musim depan," katanya.

Fakhrul Zaman, yang meledakkan 28 gol dalam Liga M3 musim ini, menghargai sentuhan emas ketua jurulatih, Zahasmi Ismail, yang menggilap semula bakatnya.

"Dia (Zahasmi) sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk memberikan apa yang terbaik di atas padang.

"Alhamdulillah, saya dapat memberikan apa yang dia mahukan.

"Terima kasih juga kepada rakan sepasukan yang tidak mudah menyerah kalah dan kejayaan layak ke Liga Perdana musim depan adalah hadiah terbaik daripada kami kepada penyokong setia KUFC," ujarnya.

Untuk rekod, KUFC mencipta sejarah menjulang kejuaraan Liga M3 musim ini dengan memungut 66 mata daripada 21 kemenangan dan tiga keputusan seri.

Kredit Foto: Kelantan United FC

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen