Fadhli raih kepercayaan Vingada

Oleh Penulis Jemputan 10 November 2017 2223
Fadhli raih kepercayaan Vingada
Ketua jurulatih negara, Nelo Vingada, mengumumkan Mohd Fadhli Shas bakal menggantikan Safiq Rahim selaku ketua pasukan dalam aksi keempat Kumpulan B, pusingan kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Buriram, Thailand malam ini.

Pelantikan Fadhli sememangnya sudah dijangka kerana dia merupakan antara pemain yang sering kali diberi kepercayaan bersama skuad negara.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Vingada selepas sesi latihan terakhir skuad negara di Stadium I-Mobile, semalam.

Bagaimanapun, pengendali itu menegaskan pelantikan Fadhli tidak bermakna peranan Safiq diketepikan kerana dia masih kekal sebagai ketua pasukan dalam perlawanan kedua dengan Korea Utara pada Isnin nanti.

“Fadhli telah dipilih sebagai ketua pasukan kerana dia sudah beraksi dalam banyak perlawanan.

“Safiq masih kapten negara, cuma dia tidak dapat beraksi malam ini,” kata Vingada.

Vingada juga memberi bayangan ramai pemain muda seperti Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abba akan diberi peluang untuk beraksi bersama dalam kesebelasan utama.

Bagi Vingada, pemain-pemain muda itu layak bersama skuad negara kerana kualiti yang mereka miliki, cuma masih kurang daripada segi pengalaman bagi mematangkan diri mereka.

“Terdapat beberapa pemain baru dan purata umur dalam skuad kini agak muda.

“Sudah tentu kami memerlukan keputusan yang baik tetapi saya percaya kami mampu membina pasukan yang lebih bagus kerana Malaysia memiliki ramai pemain muda yang berkebolehan tinggi,” tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen