Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) mengutuk "adegan yang tidak dapat diterima" melibatkan penyokong England yang menghadiri perlawanan persahabatan menentang Belanda.

Lebih 100 penyokong ditangkap sepanjang dua hari di Amsterdam, membayangi kemenangan mengagumkan 1-0 untuk pasukan Gareth Southgate itu di Arena Johan Cruyff, semalam.

Terdapat pertembungan dengan polis di luar stadium sementara segelintir yang berada di dalam mengejek lagu kebangsaan pasukan tuan rumah sebelum sepak mula.

FA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Twitter mengesahkan mereka akan bekerjasama dengan Unit Kepolisan Bolasepak UK dalam usaha mengenal pasti mereka yang terlibat.

"Kami mengutuk adegan-adegan yang tidak dapat diterima di Amsterdam. Seperti yang ditegaskan sebelum perlawanan, kami sentiasa menggesa para penyokong untuk menghormati tuan rumah dan berkelakuan secara bertanggungjawab," kata kenyataan itu.

"Seperti biasa, FA akan bekerjasama dengan Unit Kepolisan Bolasepak UK untuk membantu mengenal pasti mereka yang terlibat dan kami akan mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli Kelab Perjalanan Penyokong England yang didapati bertanggungjawab di atas kekacauan itu."

Timbalan Ketua Konstabel, Mark Roberts, yang juga Ketua Majlis Ketua Polis Negara UK (NPCC) untuk kepolisan bola sepak percaya bahawa tingkah laku "sebilangan besar" penyokong itu memberi imej jangka panjang kepada mereka yang ingin melancong ke luar negara bagi menyaksikan perlawanan England.

"Tingkah laku sebilangan besar penyokong England amat mengejutkan," katanya.

"Fakta menyedihkan bahawa tingkah laku mabuk mengukuhkan stereotaip negatif terhadap penyokong England, dan akan memberi kesan terhadap layanan kepada semua peminat yang mengikut pasukan di luar negara."

Gol antarabangsa pertama daripada Jesse Lingard memberikan kemenangan untuk England, yang akan beraksi menentang Itali, Rabu ini.