Tiada satu pun babak, aksi mahupun skrip dalam buah tangan terbaru Astro Shaw menerusi filem Eye on the Ball yang sedang ditayangkan di Astro First dibuat-buat.

Filem dokumentari itu menceritakan tentang pengembaraan skuad bola sepak orang buta negara yang berjuang untuk mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pelakon yang juga merupakan anggota skuad itu, Azril Che Ibrahim, menganggap bola sepak untuk golongan kelainan upaya tersebut umpama sinar baru dalam kehidupannya.

Selepas kesihatan matanya mulai terjejas pada usia lapan tahun, Azril menganggap penglibatannya dalam sukan itu sudah berakhir, tetapi peralihan ke sekolah khas telah membuka lembaran baru buatnya terhadap sukan yang paling diminati itu.

Baginya, gambaran padang sudah ada di dalam minda pemain termasuk penjaga gol, setiap posisi dan pemainnya.

"Bola sepak orang buta ini bukan sekadar sukan, kami gunakan pelantar ini untuk menterjemahkan nilai-nilai kehidupan.

"Selama ini orang ramai mungkin tidak pernah tengok permainan ini, tidak tahu bagaimana orang buta boleh berlari dan menggelecek sedangkan dalam menjalani rutin kehidupan, berjalan tanpa tongkat pun tidak boleh," katanya dalam rancangan Nadi Weekend, sebentar tadi.


Eye On The Ball tells the story of an incredible team in their quest to qualify for the blind football world...

Posted by Eye On The Ball on Saturday, August 22, 2020


Azril, bagaimanapun, menyangkal label bahawa dia seorang pelakon atas penglibatannya dalam Eye on the Ball apabila mendedahkan filem itu memaparkan realiti sebenar pasukan mereka.

"Tiada satu pun babak, aksi mahupun skrip dalam filem ini dibuat-buat, semuanya secara langsung," katanya.

Menurut anak kedua terakhir daripada lapan beradik itu lagi, Sunny Shalesh selaku jurulatih merupakan sosok paling penting dalam membentuk pasukan berkenaan.

"Jurulatih ibarat ayah kepada kami. Dia sentiasa mengambil berat tentang (kebajikan) kami, misalnya urusan rawatan kecederaan dan mengambil berat keadaan kami," katanya.