Zlatan Ibrahimovic telah dipanggil Sweden bagi menghadapi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Kosovo dan Georgia, sekali gus membuka laluannya untuk beraksi dalam Euro 2020 tahun ini.

Penyerang AC Milan itu tidak pernah mewakili negaranya selepas mengumumkan persaraannya dari pentas antarabangsa selepas final Euro 2016 tetapi dia kini sudah mula berbincang mengenai penampilan semulanya dengan ketua jurulatih Sweden, Janne Andersson.

Perkara itu kelihatan akan menjadi kenyataan apabila Ibrahimovic menciap satu gambar di mana dia memakai jersi Sweden dalam Twitter dengan kapsyen: "Kepulangan dewa".

Tiada siapa pernah melabel Ibrahimovic setinggi itu selain dirinya sendiri tetapi pemain berusia 39 tahun berkenaan merupakan pemegang rekod jaringan Sweden dengan 62 gol di peringkat antarabangsa dan rekodnya dalam Serie A musim ini juga amat baik di mana dia telah menghasilkan 14 gol daripada 14 perlawanan.

Dengan penyerang veteran itu kelihatan benar-benar serius dengan kepulangannya, kehadirannya sudah pasti merupakan satu pemberian yang tidak dapat ditolak Andersson.

Andersson berkata mengenai keputusannya itu: "Yang pertama, dia merupakan pemain bola sepak yang baik, yang terbaik kami miliki di Sweden.

"Ia sudah pasti merupakan sesuatu yang menarik untuk dia kembali.

"Ditambah dengan apa yang mampu disumbangkannya di atas padang, dia mempunyai banyak pengalaman dan boleh menyumbang buat pemain lain dalam pasukan ini," katanya.