GEORGIA 0 MACEDONIA UTARA 1


Macedonia Utara layak ke Euro 2020 menerusi kemenangan bersejarah 1-0 ke atas Georgia dalam perlawanan play-off di Tbilisi, awal pagi tadi.


Kedua-dua pasukan mengintai kemaraan ke pusingan akhir buat julung kalinya untuk menyertai Belanda, Ukraine dan Austria dalam Kumpulan C.

Ketua pasukan pelawat, Goran Pandev, diangkat sebagai wira pasukannya selepas meledak gol tunggal dalam perlawanan sengit di ibu kota Georgia itu di mana hanya ada empat percubaan tepat sahaja yang terhasil.

Penyerang Genoa itu menemui sentuhan penyudah pada minit ke-56 selepas menyambut umpanan Ilija Nestorovski bagi menyempurnakan gerakan yang diilhamkan Eljif Elmas.

Pandev, yang akan mencecah usia 38 tahun apabila menyertai pusingan akhir itu pada musim panas tahun depan, telah menggegar gawang lawan sebanyak 36 kali dalam 114 perlawanan buat negaranya.

Georgia, yang turun dengan reputasi tewas sekali dalam 13 perlawanan sebagai tuan rumah, sama sekali gagal menguji gawang yang dikemudi Stole Dimitrievski untuk menyekat Macedonia Utara daripada mara ke kejohanan pertama mereka.