Joachim Low tidak berasakan Jerman merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai Euro 2020 sambil menganggap England, Sepanyol, Perancis, Itali dan Belgium sebagai pasukan yang lebih baik berbanding mereka.

Jerman mengesahkan tempat ke kejohanan utama tahun depan itu selepas menewaskan Belarus 4-0 kelmarin.

Ia selepas pasukan itu dikecewakan dalam Piala Dunia tahun lalu di mana pasukan juara bertahan itu tersingkir di peringkat kumpulan.

Selain itu, mereka terselamat daripada penyingkiran dalam Liga Negara-Negara Eropah kerana perubahan format pertandingan.

Skuad kebangsaan Jerman mengalami perubahan besar sepanjang beberapa tahun lalu dengan Mats Hummels, Jerome Boateng dan Thomas Muller bukan lagi pilihan utama manakala Mesut Ozil mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa selepas mendakwa terdapat diskriminasi perkauman yang diamalkan Persatuan Bolasepak Jerman.

Skuad kendalian Low itu memenangi enam daripada tujuh perlawanan peringkat kelayakan dengan menjaringkan 24 gol sepanjang proses itu tetapi ketua jurulatih berkenaan percaya pasukan lain lebih bersedia menjelang kejohanan itu.

"Saya fikir kami boleh berpuas hati (dengan presembahan) sepanjang tahun ini," katanya dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Ireland Utara dalam perlawanan terakhir pusingan kelayakan awal pagi esok.

"Apabila ia melibatkan perkembangan secara keseluruhan, pasti ada beberapa negara yang lebih baik daripada kami.

"England, Sepanyol, Perancis, Itali dan Belgium, kesemua pasukan itu sudah melalui proses transformasi yang besar kerana dalam kejohanan besar sebelum ini, England contohnya sudah beberapa kali tersingkir awal.

"Dengan itu, pasukan-pasukan berkenaan sudah bersama untuk tiga atau empat tahun.

"Sama seperti Belanda, yang mempunyai pasukan yang sudah serasi sejak tiga atau empat tahun lalu.

"Kes itu tidak sama seperti kami buat masa ini di mana saya tidak dapat lihat kami sebagai pasukan pilihan untuk kejohanan ini.

"Tetapi apa yang pasti, kami akan mencuba segala-galanya, bersedia sebaik mungkin dan kami mahu mencapai tahap maksimum dalam kejohanan ini," katanya.

Low masih tidak dapat memutuskan skuad terbaik untuk dibawa menyertai Euro 2020 dengan dua pilihan utamanya, Niklas Sule dan Leroy Sane, mengalami kecederaan jangka panjang.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku tahun depan.

"Semalam, beberapa pemain yang cedera berada bersama kami di sini.

"Tetapi kemudian, tedapat beberapa pemain seperti Sule dan Sane terpaksa menjalani pemulihan dan kami tidak tahu bagaimana keadaan mereka.

"Apa yang penting buat saya ialah bagaimana keadaan mereka pada Januari, Februari dan Mac depan.

"Dan dalam beberapa bulan ini, saya perlu menentukan siapa yang boleh diturunkan dan siapa yang berada di prestasi terbaik.

"Terdapat beberapa keputusan yang saya tidak boleh menjawabnya hari ini," tambahnya.