Giorgio Chiellini merancang untuk beraksi sekurang-kurangnya semusim lagi sebelum bersara dengan penuh bergaya bersama Itali dalam Kejohanan Euro 2020 yang ditunda.

Pertahanan Juventus itu terlepas sebahagian besar kempen musim 2019-20 akibat kecederaan lutut serius Ogos lalu, namun dia kembali beraksi sebelum penularan COVID-19 memaksa kancah Serie A ditunda.

Walaupun bakal mencecah usia 36 tahun Ogos ini, Chiellini belum terlintas untuk menggantung but dalam masa terdekat, sekali gus membayangkan bahawa dia sedia meneruskan kempen musim depan.

Dalam perbualan Instagram Live bersama aktres, Martina Colombari -- isteri kepada bekas pemain pertahanan Milan dan Itali, Alessandro Costacurta -- pertahanan tengah itu turut mengulas mengenai peralihan kariernya sebagai pengurus.


Ripartiamo. Grazie a voi. ??

A post shared by Giorgio Chiellini (@giorgiochiellini) on



"Saya akan beraksi setahun lagi, saya akan kaji bagaimana perasaan saya dan kaki saya berdiri," katanya.

"Saya mungkin bersara musim panas depan atau musim seterusnya. Saya ingin terus berkecimpung dalam bola sepak, mungkin menjurus kepada peranan pengarah berbanding bidang pengurusan, tetapi anda tidak pernah tahu dalam hidup ini.

"Saya berharap dapat ke sana (Euro 2020) dalam keadaan yang sangat baik sebagai tugasan antarabangsa terakhir.

"Kami mempunyai pemain berpengalaman dan ramai pemain muda yang mantap. Mengakhiri karier dengan (kejuaraan Eropah) merupakan sesuatu dan akan menjadi kepuasan yang luar biasa, ia sebagai penutup (bergaya) kepada kitaran (karier)."

Chiellini mengakui kecederaan itu merupakan satu tamparan hebat tetapi menyahut "cabaran" untuk pulih sepenuhnya, sesuatu yang tidak pernah berlaku pada awal kariernya.

"Pada awalnya sukar, menerima kecederaan tidak mudah tetapi saya gembira mengalaminya pada usia 35 tahun kerana saya mempunyai tahap kematangan yang berbeza.

"Saya menganggapnya sebagai satu cabaran untuk diri sendiri," jelasnya.