Kesemua 12 bandar tuan rumah Euro 2020 akan dikekalkan apabila kejohanan itu dilangsungkan pada 2021 selepas ditangguhkan berikutan pandemik koronavirus.

Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengadakan satu sidang video semalam.

Selepas perbincangan itu, badan induk berkenaan mengumumkan keputusan mengenai nasib setiap tuan rumah di samping cara untuk Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa diteruskan.

UEFA turut mengesahkan kesemua 12 venue Euro 2020 akan dikekalkan tahun depan.

Mesyuarat itu telah ditunda bulan lalu selepas Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, berkata sembilan bandar yang terlibat bersetuju untuk meneruskan komitmen mereka manakala tiga lagi masih belum memberikan pengesahan.

Kebimbangan itu, bagaimanapun, berjaya diselesaikan selepas kesemua 12 bandar itu memberikan pengesahan dan jadual perlawanan juga sudah dipersetujui.

Kejohanan itu akan bermula dengan perlawanan di antara Itali dan Turki di Rome pada 11 Jun 2021 manakala perlawanan akhir pula akan berlangsung di London pada 11 Julai 2021.

Baku, Copenhagen, Munich, Budapest, Amsterdam, Dublin, Bucharest, St Petersburg, Glasgow dan Bilbao turut akan menjadi venue penganjur.

"Kesemua tiket yang sudah dikeluarkan masih sah digunakan dalam kejohanan itu pada 2021," tambah UEFA dalam satu kenyataan.

"Pembeli yang masih mahu mengembalikan tiket yang sudah dibeli memiliki peluang terakhir untuk melakukannya dari 18 hingga 25 Jun ini.

"Jawatankuasa eksekutif mengucapkan terima kasih kepada persatuan tuan rumah, bandar dan pihak berkuasa mereka di atas sokongan dan komitmen berterusan mereka dalam menjayakan Euro 2020 yang ditangguhkan."