Ketua jurulatih Juventus, Andrea Pirlo, memuji kemampuan Cristiano Ronaldo menyesuaikan diri selepas juara bertahan Serie A itu menewaskan AS Roma 2-0 awal pagi tadi.

Jarigan Ronaldo dan gol sendiri Ibanez memberikan Juve kemenangan di Stadium Allianz di mana pasukan gergasi Itali itu memperoleh kemenangan liga ketiga berturut-turut.

Sehari selepas sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-36, Ronaldo membuka jaringan pada minit ke-22 perlawanan itu sebelum Ibanez terjaring gol ke gawang sendiri pada minit ke-69.

Ronaldo telah terlibat dengan 84 gol sejak melakukan penampilan Serie A pertamanya pada 2018 dengan menghasilkan 68 gol dan 16 bantuan jaringan, rekod tertinggi berbading pemain lain dalam kejohanan itu. Pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or itu juga telah merekodkan 16 gol daripada 17 perlawanan liga musim ini.

Pirlo memuji kesediaan Ronaldo untuk menyesuaikan diri selepas Juve menewaskan Roma dengan berkata kepada wartawan: "Sejak permulaan musim ini, Cristiano memastikan dirinya dapat menyesuaikan diri dengan keperluan kami di atas padang.

"Dalam sesetengah perlawanan, dia bermain seperti pemain nombor sembilan sebenar ketika kami mahukan penyerang lain menutup ruang perancang pasukan lawan.

"Dalam perlawanan seperti ini, dia boleh berada lebih dekat dengan kawasan penalti dan menjadi lebih efektif dalam menjaringkan gol.

"Dia sentiasa menyesuaikan diri dengan apa yang saya mahukan daripadanya musim ini dan ia membuatkan saya lebih tenang dengan cara kami bermain," katanya.