INTER 4 GENOA 0

Sebastiano Esposito berterima kasih kepada rakan sepasukannya, Romelu Lukaku, selepas penyerang itu membenarkannya untuk mengambil sepakan penalti yang kemudian disudahkan sebagai jaringan dalam penampilan pertamanya ketika Inter Milan menewaskan Genoa 4-0 di San Siro awal pagi tadi.


Dengan Lautaro Martinez digantung perlawanan, pemain berusia 17 tahun itu mendapat peluang untuk melakukan penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama Serie A dan kemenangan 4-0 di laman sendiri itu turut mengembalikan skuad kendalian Antonio Conte itu ke puncak liga.

Dia juga menjadi pemain termuda untuk memulakan perlawanan dalam Serie A sepanjang abad ke-21 dan menjadi penjaring kedua termuda apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64.

Ketika Inter sedang mendahului dua gol, pengambil sepakan penalti, Lukaku -- yang menjaringkan gol pembukaan dan membantu jaringan Roberto Gagliardini -- menerima permintaan Esposito dengan memberikan bola kepada pemain muda itu yang disudahkan dengan sepakan kencang untuk menewaskan penjaga gol, Ionut Radu.

"Saya secara langsung berasakan diri saya sama seperti Romelu. Dia seorang yang hebat dan sentiasa bersedia untuk membantu saya," kata Esposito, yang meraikan jaringannya dengan ibunya, kepada Sky Sport Italia.

"Dia meyakinkan saya dengan berkata segala-galanya akan baik-baik sahaja dan saya amat gembira untuk menjaringkannya.

"Ia minggu yang gebat, saya tidak bohong, saya tidak dapat tidur kerana memikirkan perlawanan ini.

"Saya mahu berterima kasih kepada pasukan, jurulatih, kelab, dan terutama buat Romelu di atas gol itu.

"Dia seorang yang hebat dan pemain yang luar biasa.

"Dia memberitahu saya supaya yakin dengan diri saya ketika mengambil langkah untuk menyepak bola dan menjaringkan gol.

"Saya gembira dengan kemenangan ini dan keyakinan yang diberikan jurulatih.

"Kini, waktu sukar akan tiba dan kami perlu berusaha keras.

"Segala pengorbanan yang saya lakukan kini membuahkan hasil dan saya berharap dapat meneruskan perjalanan ini kerana masih banyak perkara yang perlu dilakukan," katanya.