Stefano Pioli tidak mengambil kesempatan menggunakan alasan penglibatan AC Milan dengan Liga Super Eropah (ESL) menjadi punca pasukannya tewas 1-2 kepada Sassuolo dalam perlawanan Serie A di laman sendiri awal pagi tadi.

Rossoneri antara 12 pasukan elit -- termasuk tiga daripada Serie A -- mendaftar diri sebagai sebahagian daripada peserta kejohanan baru itu hujung minggu lalu.

Amarah penyokong, pemain, jurulatih, badan pengelola, kerajaan dan media membuatkan sebahagian besar daripada pasukan terlibat memikirkan semula penglibatan mereka, terutama selepas kesemua enam wakil dari England membuat pusingan U dengan menarik diri semalam.

Milan kemudian mengekor jejak itu dengan mengumumkan penarikan diri mereka daripada ESL, hanya lima jam sebelum sepak mula menentang Sassuolo.

Dengan menarik diri daripada kejohanan benua berkenaan, skuad kendalian Pioli itu perlu menyempurnakan tugas besar mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Milan kini berada di tangga kedua tetapi kekalahan terbaru kepada Sassuolo -- selepas berada di depan menerusi gol Hakan Calhanoglu -- membuka ruang buat pasukan di tangga kelima, Napoli, untuk hanya dibezakan tiga mata dengan mereka seandainya dapat memanfaatkan kelebihan satu perlawanan dalam tangan dengan menewaskan Lazio.

Giacomo Raspadori bertanggungjawab menjaringkan kedua-dua gol Sassuolo tetapi Pioli enggan mencari sebarang alasan.

"Ia tidak menjejaskan kami," katanya kepada Sky Sports.

"Kami tidak membenarkan diri kami terganggu dengan apa-apa sahaja.

"Kami fokus dengan sasaran kami. Ia merupakan perkara yang belum ditentukan dan tiada dalam perbincangan kami."

Pioli turut ditanya mengenai komen yang dikeluarkan Pengarah Teknikal Milan, Paolo Maldini, sebelum perlawanan itu di mana Rossoneri memohon maaf kerana penglibatan mereka dalam ESL walaupun Maldini menegaskan bahawa dia langsung tidak tahu-menahu mengenai perbincangan itu.

"Saya tidak fikir ada sesiapa mempunyai keraguan terhadap tahap integriti moral Paolo.

"Dia mempunyai banyak nilai murni, dia meluahkannya berdasarkan apa yang dirasakannya. Jika dia berkata seperti itu, ia bermakna dia berperasaan seperti itu," tambahnya.