Christian Eriksen tiba di Milan dan dijangka akan melengkapkan perpindahannya daripada Tottenham Hotspur kepada Inter Milan.

Pemain kebangsaan Denmark itu selamat mendarat awal pagi tadi dan dijadualkan untuk melakukan ujian kesihatan dengan skuad Nerazzurri itu hari ini.

Inter dijangka membayar yuran perpindahan €20 juta (RM89.9 juta) buat pemain berusia 27 tahun itu, yang kontraknya bersama Spurs akan tamat pada penghujung musim 2019-20.

Erikson dilaporkan akan menandatangani kontrak hingga Jun 2024 dengan bayaran €380,000 (RM1.7 juta) seminggu, termasuk imbuhan.

Masa depannya menjadi salah satu saga dalam jendela perpindahan kali ini dengan Inter pada awalnya gagal mencapai kesepakatan dengan Spurs, yang berisiko untuk melepaskan Eriksen secara ejen bebas pada penghujung musim ini.

Pengurus Spurs, Jose Mourinho, selepas terikat 1-1 dengan Southampton dalam Piala FA, Sabtu lalu, mengakui tidak gembira dengan isu perpindahan yang berpanjangan itu.

"Ia bukan salah Tottenham kerana pada 25 Januari lalu, kami berada dalam situasi itu.

"Satu-satunya perkara yang saya boleh katakan ialah Eriksen, sejak saya tiba di sini, telah bersikap amat-amat profesional dengan saya dan pasukan ini.

"Tottenham adalah pihak terakhir untuk dipersalahkan mengenai situasi ini tetapi pada 25 Januari lalu, situasi seperti ini tidak elok," katanya.

Spurs turut mengesahkan Brandon Austin akan dipinjamkan ke Viborg sehingga penghujung musim ini.

Penjaga gol berusia 21 tahun itu, yang menandatangani perjanjian baru dengan Spurs hingga 2022, akan berpindah ke Denmark, tertakluk kepada pelepasan antarabangsa.




Editor: Muzaffar Musa