Christian Eriksen berazam untuk mempamerkan kemampuan sebenar bersama Inter apabila musim bersambung selepas penularan wabak koronavirus.

Eriksen menyertai Inter dari Tottenham Januari lalu, tetapi hanya membuat lapan penampilan sebelum saingan ditangguh ekoran COVID-19.

Pemain kebangsaan Denmark itu hanya sekali turun dalam kesebelasan utama Inter, yang kini menghuni tangga ketiga.

Eriksen berazam untuk terus bersaing mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Inter selepas menandatangani kontrak selama empat tahun bersama kelab tersebut.

"Saya gemar bermain bola sepak," katanya menerusi Instagram.

"Ia merupakan motivasi terbesar bagi saya, sasaran seterusnya adalah memastikan tempat dalam kesebelasan utama di Inter."

Hampir kesemua kelab Serie A kembali menjalani latihan individu minggu ini apabila saingan dijangka bakal bersambung tidak lama lagi.

Eriksen berkata dia memastikan dirinya di tahap terbaik dan memberitahu, "Menjalani latihan hampir setiap hari bersama rakan sepasukan menerusi Zoom dan terdapat hari saya menjalani latihan sendiri."
Youtube Embed