Luis Enrique seperti mahu "membunuh" pemain-pemain Sepanyol ketika separuh masa selepas tewas 3-2 kepada England dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, awal pagi tadi.

Dua jaringan Raheem Sterling yang disusuli rembatan Marcus Rashford meletakkan England dalam kedudukan selesa apabila mendahului La Roja 3-0 di Seville.

Tuan rumah -- meraih kemenangan 2-1 ketika berdepan England, September lalu -- berusaha untuk bangkit menerusi jaringan pemain gantian, Paco Alcacer, dan tandukan Sergio Ramos, namun gagal meraih gol penyamaan untuk memastikan mereka mengakhiri perlawanan dengan satu mata.

Ia merupakan kekalahan pertama Sepanyol dalam aksi kompetitif di laman sendiri sejak 15 tahun lalu dan bekas pengendali Barcelona, Enrique, mengkritik aksi yang dipamerkan oleh barisan pemain bimbingannya.

"Persembahan yang hambar dalam separuh masa pertama, kami gagal memberikan tekanan dan jaringan pertama meruntuhkan semangat pasukan," katanya.

"Kami telah banyak melakukan kesilapan tetapi Sepanyol memberikan persembahan yang lebih baik dalam separuh masa kedua.

"Selepas ketinggalan 3-0, kebiasaannya pemain-pemain akan dimarahi tetapi saya cuba memberikan semangat dan tidak melakukan sebarang pertukaran yang drastik.

"Kami tidak boleh meratapi kekalahan ini dengan memberikan keutamaan untuk aksi akan datang. Kami akan berdepan Croatia untuk meraih kemenangan."

Sepanyol akan berdepan Croatia di Zagreb pada 15 November manakala England akan menerima kunjungan naib juara Piala Dunia itu tiga hari kemudian.