Pertahanan, Marc Bartra, percaya ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique, menghadirkan ketenangan dalam skuad kebangsaan itu.

Kempen Piala Dunia 2018 Sepanyol berakhir hambar, dengan Julen Lopetegui dipecat dua hari sebelum aksi pembukaan apabila mengambil keputusan untuk menyertai Real Madrid.

Fernando Hierro mengambil alih tugas bagi menghadapi saingan tersebut tetapi sekadar membawa juara dunia 2010 itu ke pusingan 16 sebelum disingkirkan tuan rumah, Russia.

Enrique dilantik pada Julai lalu dengan mengekalkan rekod kemenangan ketika dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA berdepan England, Croatia dan terbaru dalam perlawanan persahabatan berdepan Wales, Khamis lalu.

Sepanyol sekali lagi akan berdepan England esok dan Bartra -- yang menjaringkan gol pertamanya dalam saingan antarabangsa ketika bertemu Wales -- memuji Enrique yang mengubah nasib La Roja.

"Beliau adalah jurulatih yang mampu mengawal kesemua aspek taktikal dan banyak memenangi gelaran," katanya.

"Pengalaman mengendalikan Barcelona membenarkan beliau menyerap tekanan, sekali gus kekal fokus. La Roja kni memiliki rentak dan beraksi dengan lebih tenang.

"Kami dapat melihat keazaman dan keinginan yang dimiliki Enrique," ujarnya.