Luis Enrique memberi amaran kepada pemain tengah Barcelona, ​​Sergio Busquets, bahawa dia tidak semestinya terpilih dalam Euro 2020 sekiranya gagal mengekalkan tahap persembahannya.

Pemenang Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 itu telah 118 kali membarisi skuad La Roja sejak membuat kemunculan pertama pada 2009.

Dia memainkan peranan penting buat kelab dan negaranya sambil bertindak selaku ketua pasukan ketika seri 0-0 dengan Portugal di Lisbon kelmarin.

Bagaimanapun, Busquets akan mencecah usia 33 tahun dalam pusingan akhir Euro 2020 yang ditangguhkan ke Jun tahun depan dan kedudukannya dalam kesebelasan Sepanyol mula cuba digugat pemain tengah Manchester City, Rodri.

Luis Enrique tidak dapat menjamin bintang veteran itu akan menjadi sebahagian dari perancangannya tahun depan sekiranya dia gagal mengekalkan prestasinya.

"Sekiranya dia terus memperagakan tahapnya seperti 11 tahun terakhir, dia akan berada dalam kejohanan Euro. Jika prestasinya menurun maka kita akan lihat kelak," kata pengurus Sepanyol itu.

"Dia seorang pemain veteran dan dia yang pertama mengetahui bagaimana ia boleh berlaku. Pada akhirnya, usia menjadi faktor penting.

"Inilah peraturan hidup. Tiada pemain yang akan menghabiskan 28 tahun bersama pasukan kebangsaan."


Salah seorang pemain yang telah memasuki perancangan Luis Enrique adalah bintang sayap Wolves, Adama Traore, yang membuat penampilan sulung dari bangku simpanan ketika menentang Portugal.

Kepantasan, helah dan daya tarikan yang dimiliki pemain sayap itu menjadikannya sebagai senjata berbeza buat Sepanyol, lantas pengurus tersebut senang melihatnya perkembangan anak buahnya berkenaan.

Dia juga mengesahkan bentuk fizikal Traore adalah terhasil daripada genetik, bukannya daripada aktiviti membina badan.

"Kesnya istimewa. Dia tidak mengangkat beban -- memang benar apa yang dia katakan," kata bekas bos Barca itu.

"Dia seorang pemain bola yang bukan sekadar memiliki kepantasan dan struktur fizikal yang dicemburui. Malah, kemahiran, kekuatan, keupayaan ntuk mengawal bola."

Sepanyol bakal turun untuk perlawanan ketiga Kumpulan A4, Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menentang Switzerland di Estadio Alfredo Di Stefano, Madrid, awal pagi esok.