Sekiranya ada pemain yang bernilai £200 juta (RM1.09b), maka bintang Paris Saint-Germain (PSG) dan Brazil, Neymar, adalah orangnya. Demikian pendapat jurulatih England, Gareth Southgate, yang berasakan skuad Three Lions kendaliannya harus mencari jalan untuk mengekang pemain itu dalam perlawanan ujian di Wembley, awal pagi esok.

Brazil berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia di Russia tahun depan apabila menamatkan saingan dalam zon CONMEBOL (Amerika Selatan) dengan 41 mata -- kelebihan 10 mata daripada pesaing terdekat, Uruguay.

Kebiasaannya, Neymar akan menjadi tunjang utama kepada pasukan bimbingan Tite itu yang menyaksikan dia meledak enam gol dan mencipta lapan peluang dalam kempen kelayakan.

Justeru, Southgate berminat untuk menguji pasukannya ketika berdepan pemain termahal dunia itu yang dipancing daripada Barcelona.

"Dia adalah salah seorang pemain terbaik di dunia. Kami perlu bersedia kerana serangan balas adalah salah satu taktik terbaik mereka, kemudian bertahan baik secara individu," katanya dalam sidang media pra-perlawanan itu.

"Adakah dia bernilai £200j? Jika ada orang yang bernilai setinggi itu -- ia adalah dia."

Mengenai cabaran menghadapi Brazil, Southgate berkata: "Mereka tahu untuk mengetengahkan barisan terbaik, mereka mempunyai beberapa individu yang cemerlang dan fizikal yang luar biasa.

"Mereka telah memusnahkan semua pasukan dalam kelayakan Amerika Selatan yang merupakan proses paling sukar untuk ke pusingan akhir sehingga ia menjadi ujian besar."