Nemanja Matic mengakui sukar untuk memilih pasukan pilihan Euro 2020 tetapi percaya England memiliki "pasukan terbaik sejak 20 tahun lalu" menjelang kejohanan itu yang bakal bermula pertengahan tahun depan.

Pusingan akhir Euro akan menyaksikan 24 negara terlibat, dengan empat slot terakhir bakal ditentukan dalam aksi play-off Mac depan.

Juara bertahan, Portugal, akan meletakkan sasaran untuk mempertahankan gelaran mereka sementara Perancis -- tewas di laman sendiri dalam aksi final 2016 -- bakal mencari kesinambungan terhadap kejayaan bergelar juara Piala Dunia tahun lalu.

Matic berharap untuk membantu Serbia meraih kegemilangan, namun tidak terkejut jika dua pasukan pilihan bakal bertemu untuk merebut gelaran di Stadium Wembley, 12 Julai depan.

England memiliki kelebihan jika berjaya melangkah ke separuh akhir dan akhir, dengan pemain tengah Manchester United itu kagum dengan bakat yang dimiliki pengurus, Gareth Southgate, yang berjaya membawa skuad The Three Lions ke separuh akhir di Russia.

"Sukar untuk memilih pasukan pilihan saya bagi Euro 2020," kata Matic kepada Omnisport.

“Negara saya adalah pilihan utama tetapi saya berasakan Jerman turut memiliki kualiti. Croatia juga bagus, mereka melangkah ke final Piala Dunia.

“Sepanyol dan Perancis sentiasa menghadirkan kualiti. Sukar untuk memilih pasukan pilihan.

“England pula, saya berasakan mereka memiliki skuad terbaik sejak 20 tahun lalu."