Bekas pengendali England, Sven-Goran Eriksson, memberikan amaran buat pasukan bimbingan Gareth Southgate mengenai tugas berat yang dihadapi apabila berdepan Sweden dalam suku akhir Piala Dunia 2018.

The Three Lions berada di kemuncak prestasi selepas menundukkan Colombia menerusi penentuan sepakan penalti setelah permainan berakhir 1-1, sekali gus mengesahkan tiket ke Samara untuk bertemu Sweden, pasukan yang disifatkan Eriksson sebagai satu unit bertahan secara berpasukan yang hebat.

Skuad kendalian Janne Andersson itu telah memenangi tiga daripada aksi Piala Dunia mereka setakat ini, menjaringkan enam gol dan tidak dibolosi dalam ketiga-tiga aksi tersebut untuk mengungguli Kumpulan F, sebelum menundukkan Switzerland 1-0 dalam pusingan kedua.

Eriksson yang mengurus England dalam 40 kemenangan dan hanya 10 kekalahan dalam tempoh dari 2001 sehingga 2006, yakin negara kelahirannya itu akan memberikan cabaran sebenar buat England.

"Tentunya hebat untuk melihat England memenangi aksi penentuan sepakan penalti, mereka memiliki mental yang kuat," katanya.

"Jika England menganggap mereka memiliki perlawanan yang mudah pada Sabtu ini, ia satu kesilapan besar. Saya rasa ia akan menjadi ujian yang sukar.

"Sweden juga tidak akan diberikan jalan mudah tetapi untuk menjaringkan gol menentang mereka, England berdepan tugas besar.

"England mempunyai barisan pemain yang mampu melakukan sesuatu yang istimewa seperti Harry Kane dan Raheem Sterling tetapi apabila saya berkata sukar untuk menembusi benteng Sweden, ia adalah realiti.

"Itali cuba untuk menembusinya dalam 180 minit ketika kelayakan dan tidak berjaya. Jerman hanya melakukannya menerusi sepakan percuma pada minit terakhir."

Eriksson yang menganggap dirinya seperti warga England turut memuji Sweden kerana dapat memadamkan bayangan persaraan Zlatan Ibrahimovic pada 2016.

Ibrahimovic merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Sweden menerusi catatan 62 gol dalam 116 penampilan tetapi Eriksson berpendapat anak-anak buah Andersson adalah satu unit yang lebih daripada kekuatan individu.

"Jika seorang pemain digantung, pemain lain akan diharapkan dan anda akan melihat perbezaan.

"Sweden tidak mempunyai pemain seperti Kane, Sterling atau Neymar. Ia secara berkumpulan. Mereka melakukannya bersama-sama dan bekerja keras."