Rudi Voller percaya England dan Belgium berkebolehan untuk mencabar Jerman, bagaimanapun yakin pasukannya mampu menjadi negara ketiga mempertahankan Piala Dunia.

Jerman kekal sebagai sebagai antara kuasa besar dalam saingan bola sepak antarabangsa selepas menjulang Piala Dunia buat kali keempat pada 2014.

Mereka merupakan pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan tetapi Voller menjangkakan pemenang edisi 2010, Sepanyol, dan finalis Euro 2016, Perancis, berpeluang untuk merampas kejuaraan, termasuk kehadiran pasukan seperti England dan Belgium.

England gagal mara ke suku akhir sejak Piala Dunia 2006 dan dikejutkan Iceland dalam pusingan kalah mati Euro 2016.

Bagaimanapun, mereka telah melayakkan diri ke Russia tanpa sebarang kekalahan dan seri tanpa jaringan ketika bertemu Jerman di Wembley.

Belgium, yang berjaya ke suku akhir dalam Piala Dunia 2014 dan Euro 2016, turut mendominasi saingan kelayakan.

Voller yang ditanya kebarangkalian Jerman untuk mempertahankan kejuaraan, berkata, "Ya, mereka mampu melakukannya. Tetapi ia akan menjadi satu saingan yang rumit, banyak pasukan yang semakin meningkat naik.

"Ia merupakan satu tugasan yang sukar tetapi sejak empat tahun yang lalu di Brazil, tiada pasukan Eropah yang pernah menjuarai Piala Dunia ketika dianjurkan oleh negara Amerika Selatan.

"Bagaimanapun, segala-galanya boleh berlaku dalam bola sepak. Ia bakal menjadi satu saingan yang dinanti-nantikan," katanya.