Robert Lewandowski mendakwa enam gelaran yang diraih Bayern Munich adalah sesuatu yang istimewa bukan hanya untuk gergasi Bundesliga tetapi buat bola sepak di seluruh dunia.

Bayern mengatasi juara CONCACAF, Tigres UANL 1-0 di Qatar awal pagi tadi bagi menjuarai gelaran Piala Dunia Kelab buat kali kedua.

Ia menjadikan gelaran keenam dimenangi Bayern di bawah kendalian Hansi Flick, dengan senarai yang turut dilengkapkan dengan kejuaraan musim lalu iaitu Bundesliga, DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara dan musim ini Piala Super UEFA dan Piala Super DFL.

Lewandowski, yang dinobat sebagai Pemain Terbaik FIFA 2020, merupakan pemain penting dalam memastikan kemenangan Bayern keatas Tigres selepas gerakannya membenarkan Benjamin Pavard meledak gol kemenangan.

"Enam kejuaraan ini sememangnya amat istimewa, satu kisah yang menarik -- bukan hanya untuk Bayern Munich, tetapi seluruh bola sepak," kata Lewandowski.

"Cara kami bermain, ia akan kekal untuk jangka masa panjang."


Bayern merupakan pasukan pertama sejak Barcelona yang dikendalikan Pep Guardiola, pada 2009, untuk menjuarai semua gelaran yang ditawarkan.

"Tahniah kepada pasukan, mereka telah meraih sesuatu yang bersejarah dengan gelaran keenam," kata Flick.

"Ini merupakan musim yang terbaik dan berjaya bagi Bayern.

"Kami sangat berbangga dengan pasukan. Ia merupakan sesuatu yang luar biasa apa yang mereka telah capai."