Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, yakin bahawa aksi pemain muda dari Argentina, Giovani Lo Celso, mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi di posisi tengah bertahan skuad gergasi Perancis itu.

Emery turut menafikan PSG akan cuba mendapatkan bekas bintang Real Madrid dan Marseille, Lassana Diarra, setelah kehilangan khidmat Thiago Motta akibat masalah kecederaan betis.

Dua lagi pemain tengah, Adrien Rabiot dan Marco Verratti, dijangka diletakkan di posisi lebih menyerang, sekaligus membuka ruang buat Lo Celso bagi membantu barisan pertahanan dan dia diturunkan ketika PSG membenam cabaran Rennes 6-1 dalam aksi Coupe de France, Ahad lalu.

"Saya harap hanya kecederaan kecil yang melanda Motta dan dia mampu segera kembali," kata Emery.

"Isu perpindahan adalah urusan pengarah sukan kelab, Antero Henrique.

"Lo Celso adalah contoh pemain yang bagus. Dia tiba di sini pada tahun lalu dan berusaha keras untuk mendapatkan tempat serta waktu bermain. Banyak pasukan yang bertanya tentangnya. Kini, dia memberikan keseimbangan dalam pasukan.

"Saya tahu tentang Diarra tetapi dalam masa sama gembira dengan senarai yang dimiliki skuad. Walaupun Henrique yang berhak di atas sebarang kata putus, pendapat saya tetap penting," katanya.

Edinson Cavani dan Javier Pastore tidak disenaraikan dalam perlawanan pada Ahad lalu selepas lewat melaporkan diri kepada pasukan susulan cuti pertengahan musim, namun Emery tidak memberikan sebarang pengesahan mengenai hukuman atau tindakan yang akan diambil.

"Saya sudah bercakap dengan mereka, begitu juga kelab. Apa yang penting adalah keadaan seluruh pasukan," jelasnya.