PSG 5 ANDERLECHT 0

Paris Saint-Germain (PSG) melangkah ke pusingan 16 Liga Juara-Juara tetapi ketua jurulatih, Unai Emery, menegaskan tugas mereka belum selesai dengan kedudukan teratas dalam Kumpulan B adalah keutamaan bagi gergasi Perancis itu.


PSG mudah menumpaskan pelawat dari Belgium, Anderlecht, 5-0 di Parc des Princes, awal pagi tadi.

Pemain pertahanan Perancis, Layvin Kurzawa, menjaringkan hatrik dalam separuh masa kedua sementara Neymar juga menemui gol untuk membantu PSG meraih kemenangan keempat berturut-turut dengan 17 gol tanpa sebarang bolos.

PSG berkelebihan tiga mata ke atas skuad di tempat kedua, Bayern Munich, dengan dua baki perlawanan dan Emery bertekad mahu mara ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan.

"Kami berpuas hati. Kami layak, di mana ia merupakan perkara yang paling mustahak," kata Emery.

"Tetapi matlamat dalam kumpulan ini adalah untuk menamatkan saingan di tempat pertama dan kami masih mempunyai tugas menentang Celtic di tempat sendiri dan melawan Bayern.

"Kami meraih tiga mata dan penting untuk kami bermain dengan baik di Parc des Princes, di hadapan peminat kami, sorakan sepanjang perlawanan dan kami bekerja keras untuk mereka.

"Saya fikir kami bermain dengan baik sepanjang 90 minit penuh. Dalam perlawanan pertama menentang mereka, kami memberi mereka ruang terlalu banyak dan melepaskan banyak peluang tetapi hari ini kami tidak memberikan mereka apa-apa.

"Mereka hanya mempunyai dua atau tiga peluang dan itulah yang kami usahakan, untuk terus menambah baik prestasi sebagai satu pasukan," katanya.