Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, gembira melihat tiada pemain yang mengalami kecederaan menjelang aksi pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Real Madrid, minggu depan.

Bintang Brazil, Neymar, direhatkan untuk meraikan hari lahirnya yang ke-26, sekali gus memberikan ruang Angel Di Maria untuk beraksi dalam perlawanan bertemu Sochaux bagi saingan Piala Perancis, awal pagi tadi.

Pemain Argentina itu mencatat hatrik di Stade Bonal, membolehkan Emery mengeluarkan Marco Verratti dan Edinson Cavani, walaupun Dani Alves terpaksa bertindak sebagai penjaga gawang selepas Kevin Trapp dilayangkan kad merah di penghujung perlawanan.

Layvin Kurzawa mengundang rasa cemas Emery selepas berlaga dengan penjaga gol lawan, Lawrence Ati, sekali gus mengingatkan kembali insiden di antara Kylian Mbappe dan penjaga gawang Lyon, Anthony Lopes, bulan lalu.

Selepas tamat perlawanan, Emery menyatakan kelegaannya selepas mampu menyenaraikan hampir kesemua pemainnya sebelum bertandang ke Sepanyol.

"Matlamat kami adalah melayakkan diri tanpa sebarang kecederaan dan mengenal pasti segala perkara.

"Kami menghormati Piala Perancis serta pihak lawan yang telah menundukkan pasukan Ligue 1 yang lain sebelum ini," kata Emery.

Sementara itu, Thiago Silva menyangkal dakwaan kapten Sochaux, Florian Tardieu, yang menyifatkan pemain-pemain PSG tidak menghormati pasukan tuan rumah apabila menghadiri majlis hari jadinya.

"Kami bermain secara teknikal pada hari ini dan walaupun padangnya tidak begitu baik, kualiti pemain yang ada dalam skuad PSG mewujudkan perbezaan," ujar Silva.

"Kenyataan kapten lawan yang mengatakan kami tidak menghormati mereka itu salah. Kami menghormati setiap lawan yang kami temui."