Emery terima sokongan 200 peratus PSG 

Oleh Penulis Jemputan 20 Disember 2017 167
Emery terima sokongan 200 peratus PSG 
Pengarah Sukan, Paris Saint-Germain (PSG), Antero Henrique, menegaskan Unai Emery mendapat sokongan penuh kelab biarpun kontrak pengurus itu hampir tamat. 

Perjanjian dua tahun Emery berakhir pada hujung musim ini dan dia mempunyai pilihan untuk melanjutkannya semusim lagi. 

Bekas pengendali Sevilla itu kini berada di landasan untuk memenangi Ligue 1 buat kali pertama serta memimpin PSG ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) selaku pemenang Kumpulan B.

Henrique, yang sebelum ini bertugas di Porto, berkata tiada masalah berhubung masa depan Emery.

"Saya memberi jaminan bahawa kontrak bukanlah masalah kepadanya atau PSG. Semua orang sangat tenang tentang hal ini," kata Henrique kepada akhbar Perancis, Le Parisien.

"Tidak ada presiden atau pemain yang mengatakan bahawa Emery bukan jurulatih yang hebat, setiap orang bercakap tentang dia secara positif.

"Tetapi, sudah menjadi resam apabila jurulatih dikritik. Unai adalah salah seorang jurulatih terbaik di dunia.

"Sebagaimana presiden (Nasser Al-Khelaifi) katakan pada awal musim ini, kami 200 peratus di belakangnya, 200 peratus, kami tidak mempunyai keraguan tentang dia dan dia mempunyai keyakinan kami," tambahnya.

Masa depan Emery di PSG mungkin diputuskan berdasarkan keputusan yang diraih dalam pusingan 16 UCL kerana berdepan tugas getir dengan Real Madrid.

Henrique mengakui ia sesuatu yang mahu dielakkan untuk menghadapi pemenang musim lalu itu terlalu awal.

"Undian ini adalah perkara yang buruk buat kami dan juga Real," katanya.

"Namun, kami akan menjadi tumpuan dunia bola sepak pada masa itu dan apa yang penting, pasukan terbaik akan layak."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen