Unai Emery memuji Emile Smith Rowe sebagai satu contoh untuk diikuti barisan muda Arsenal selepas pemain berusia 18 tahun itu menjaringkan gol kemenangan dalam aksi Liga Europa menentang Vorskla, awal pagi tadi.

Arsenal meraih gol menerusi Smith Rowe, Aaron Ramsey dan Joe Willock untuk memastikan tempat ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan E.

Smith Rowe jelas menyinar ketika membarisi skuad kurang berpengalaman The Gunners, sekali gus menarik perhatian Emery menjelang aksi setempat London Utara menentang Tottenham Hotspur.

"Dia mempamerkan keyakinan, tanggungjawab dan saya rasa prestasinya dalam 90 minit sangat baik," kata Emery.

"Dia satu contoh terbaik untuk pemain muda yang lain. Kami rasa mereka boleh membantu kami tetapi keyakinan diperlukan ketika beraksi, bukan sahaja ketika sesi latihan.

"Mereka memerlukan tempoh beraksi seperti hari ini. Kami mahu dan mempunyai tanggungjawab dengan pemain muda seperti Smith Rowe serta yang lain untuk terus kekal, berusaha dan menunjukkan kepada kami bahawa mereka sedang meningkat.

"Kami rasa kemenangan hari ini adalah tentang pemain yang tepat dan memberi peluang kepada ramai pemain. Kami beraksi dengan pemain muda dan mereka bekerja keras dalam sesi latihan setiap hari.

"Dalam 90 minit, perkara utama adalah kemenangan, kemudian menamatkan aksi dengan beberapa pertukaran untuk menamatkan aksi."

Smith Rowe telah menyumbat tiga gol dalam empat aksi terakhir buat Arsenal dan pemain muda itu jelas teruja dengan persembahannya selepas melalui aksi yang menyejukkan di Kiev.

"Ia satu kemenangan yang baik untuk kami dan beberapa pemain muda meraih penampilan pertama, jadi kami gembira untuk mendapatkan kemenangan," ujar Smith Rowe.

"Jari dan kaki saya sangat sejuk tetapi anda harus membiasakan diri dengannya.

"Kami mahu memenangi semua piala. Kami sedang meningkat dalam setiap perlawanan dan sangat gembira dapat melibatkan diri."