QARABAG 0 ARSENAL 3

Unai Emery memuji mentaliti "rendah diri" Emile Smith Rowe selepas pemain tengahnya itu menjadi penjaring termuda Arsenal sejak tujuh tahun lalu dalam kemenangan 3-0 ke atas Qarabag dalam kempen Liga Europa, awal pagi tadi.


Smith Rowe menjaringkan gol kedua Arsenal di Azerbaijan yang menyaksikan The Gunners meraih kemenangan kelapan berturut-turut dalam semua pertandingan dengan Sokratis Papastathopoulos dan Matteo Guendouzi turut merakamkan jaringan sulung bersama kelab itu.

Pemain berusia 18 tahun itu merupakan penjaring gol termuda Arsenal sejak Alex Oxlade-Chamberlain pada 2011 dan Emery menegaskan aset terbesar Smith Rowe adalah sikapnya yang merendah diri.

"Setiap pemain perlu berasakan bahawa mereka berpeluang beraksi dengan kami, terutama pemain daripada akademi," kata Emery kepada wartawan.

"Smith Rowe melaksanakan tugas dengan baik pada pra-musim lalu dan faham corak permainan kami. Dia sangat merendah diri dan mahu terus bertambah baik dengan kami.

"Kualiti dimilikinya meliputi fizikal dan mental. Dia juga mempunyai kualiti di kaki kanannya dan boleh bergandingan dengan mana-mana pemain di barisan serangan sekalipun.

"Sekiranya saya bercakap mengenai satu aspek, saya ingin mengatakan tentang mentalitinya. Dia merendah diri, mendengar setiap arahan dalam latihan, analisis video dan taklimat sebelum setiap perlawanan.

"Perlawanan terakhirnya membabitkan aksi menentang Brentford, dia mempunyai tiga peluang di depan pintu gol, namun tidak menjaringkan gol tetapi hari ini dia mempunyai dua peluang dan menjaringkan satu gol.

"Tetapi, saya lebih suka tidak bercakap banyak tentang dia, saya mahu dia terus merendah diri dan berpijak di bumi nyata."