Menjelang aksi setempat London bagi saingan Piala Liga berdepan Tottenham Hotspur awal pagi esok, pengendali Arsenal, Unai Emery, yakin barisan pemain muda mampu membantu mereka bangkit daripada kekalahan di tangan Southampton hujung minggu lalu.

Rentetan 22 perlawanan tanpa kalah Arsenal akhirnya lebur di Southampton tatkala aksi pertama Ralph Hasenhuttl bersama The Saints berakhir dengan kemenangan 3-2.

The Gunners bakal berdepan Spurs awal pagi esok dalam aksi ulangan yang menyaksikan mereka menang 4-2 bulan ini, namun kini perlu kembali mendapatkan sentuhan sambil Emery bersedia untuk memberi kepercayaan kepada pemain muda untuk mendapatkan kemenangan.

Nama seperti Ainsley Maitland-Niles dan Eddie Nketiah dijangka akan membarisi kesebelasan utama The Gunners esok.

"Perancangan awal kami adalah beraksi dengan pemain terbaik dalam perlawanan setempat ini," kata Emery.

"Lawan adalah pasukan bagus dan ia memerlukan prestasi baik daripada kami.

"Kami boleh menggunakan beberapa pemain muda kerana berasa dengan persembahan baik, mereka mampu menghadirkan kemenangan.

"Keputusan Ahad lalu adalah peringatan terbaik buat kami. Kami perlu meningkatkan prestasi dan terus berkembang dalam setiap proses.

"Ia bukan keputusan yang baik tetapi realiti ini memberikan kami motivasi untuk terus bekerja keras, mendapatkan perkara baru dalam kerja setiap hari dan juga memerlukan kami tampil lebih baik."

Dalam masa sama, Emery mahu memantapkan bahagian pertahanan tatkala benteng The Gunners kini dilanda masalah kecederaan.

Walaupun Stephan Lichtsteiner cergas, pemain lain seperti Hector Bellerin, Sead Kolasinac dan Shkodran Mustafi masing-masing mengalami kecederaan dan perlu dinilai sebelum aksi esok.

"Kami perlu memastikan tidak dibolosi apabila lawan meraih peluang mencatat jaringan," tambah Emery.

"Tidak dibolosi adalah sesuatu yang penting dalam setiap perlawanan. Esok adalah aksi seterusnya.

"Catatan gol atau jumlah dibolosi merupakan perkara penting dan kami perlu tampil lebih baik bagi mengimbangi aspek pertahanan," katanya.