PARIS SAINT-GERMAIN 2 LUDOGORETS 2

Selepas hampir dimalukan ketika bertemu Ludogorets dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Unai Emery meminta pemain Paris Saint-Germain untuk cepat memberikan tumpuan kepada aksi Ligue 1 menentang Nice, Ahad ini.


Gol Virgil Misidjan dan Wanderson memberikan ancaman awal bahawa pasukan pelawat dari Bulgaria itu boleh memperoleh kemenangan di ibu negara Perancis itu tetapi jaringan Angel Di Maria pada masa kecederaan menyaksikan keputusan berakhir dengan seri 2-2.

Berikutan kekalahan 3-0 di Montpellier dalam perlawanan liga Sabtu lalu, ia membawa kepada ejekan daripada peminat PSG selepas wisel penamat dibunyikan di Parc des Princes.

Tetapi daripada menyentuh soal memberikan kedudukan teratas Kumpulan A kepada Arsenal, Emery menggesa pemainnya untuk bangkit menjelang perlawanan penting menentang pendahulu liga di Perancis.

"Ia sangat mengecewakan. Kami beraksi dengan baik di Arsenal dan telah kembali dari London dengan kedudukan teratas," katanya kepada beIN Sport.

"Kami mempunyai banyak peluang, sepakan sudut dan di dalam kawasan penalti. Kami berhak untuk menang.

"Ia merupakan keputusan yang tidak boleh diterima. Saya bimbang kerana kami tidak menjaringkan gol yang banyak seperti yang selalu kami lakukan.

"Kami boleh mengembalikan prestasi kami pada Ahad ketika menentang Nice. Perkara yang paling penting adalah untuk terus berada di dalam pusingan seterusnya."

Kapten Ludogorets, Svetoslav Dyakov, mengakui pasukan pelawat itu "sedikit kecewa" kerana melepaskan gol penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan walaupun keputusannya menyaksikan mereka berjaya mendapatkan tempat di peringkat kalah mati Liga Europa.

"Kami agak kecewa kerana kami telah menghampiri kemenangan yang cukup besar. Ya, PSG mempunyai peluang tetapi sepanjang permainan, kami sepatutnya boleh mencatatkan kemenangan," katanya kepada UEFA.com.

"Kami amat gembira kerana menjadi kelab Bulgaria pertama yang melepasi peringkat kumpulan UCL. Ia adalah sasaran kami sebelum bermulanya peringkat kumpulan.

"Kami kini mempunyai keyakinan dan tiada siapa yang boleh memandang rendah kepada kami dalam Liga Europa."