Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, menegaskan Kylian Mbappe mengharungi perlawanan yang sangat baik walaupun terlepas beberapa peluang ketika berdepan bekas pasukannya, Monaco.

Mbappe bergelut di depan gol selepas PSG berjaya menewaskan Monaco 2-1 dalam saingan Ligue 1 di Stade Louis II, semalam.

Ia merupakan kali pertama Mbappe kembali bertemu bekas pasukannya sejak menyertai PSG. Mbappe -- yang menjaringkan 26 gol dalam semua pertandingan musim lalu -- membazirkan empat peluang terbuka.

Emery, bagaimanapun, berpuas hati dengan persembahan pemain berusia 18 tahun itu.

"Pada pendapat saya, Mbappe menjadikan perlawanan sangat menarik," kata Emery.

"Perkara yang paling penting adalah kami menghasilkan peluang. Tetapi jika dia menyempurnakan peluangnya, Mbappe mampu menyempurnakan perlawanan ini."

Edinson Cavani dan Neymar menjaringkan dua gol dalam pertemuan ini, dengan penyerang Uruguay itu membuka jaringan pada minit ke-19 sebelum pemain termahal dunia itu menggandakan jaringan tujuh minit selepas perlawanan bersambung.

Cavani dan Neymar sebelum ini bertelingkah mengenai tugas untuk mengambil sepakan penalti dan sepakan percuma ketika PSG meraih kemenangan 2-0 ke atas Lyon, pada September lalu.

Tetapi Neymar diberikan tugas mengambil sepakan penalti oleh Emery dan bekas penyerang Barcelona itu tidak melakukan sebarang kesilapan ketika berdepan Monaco manakala Joao Moutinho menjaringkan gol sagu hati buat pasukan tuan rumah.

"Pertama sekali, pemain-pemain perlu menghormati keputusan jurulatih. Kemudian mereka boleh memahami tugas masing-masing di atas padang. Kami mengetahui pemain-pemain yang boleh mengambil sepakan penalti. Neymar adalah salah seorang daripadanya."