Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, memuji aksi hebat bintang Brazil, Neymar, selepas membantu gergasi Perancis itu membelasah Celtic 7-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

PSG ketinggalan selepas 56 saat hasil gol Moussa Dembele, namun bangkit untuk menjadikan kedudukan 4-1 ketika menuju waktu rehat.

Neymar menjaringkan dua gol awal PSG sebelum Edinson Cavani dan Kylian Mbappe menambah dua lagi jaringan untuk meletakkan mereka dalam kedudukan selesa.

Marco Verratti dan Dani Alves turut meletakkan nama dalam senarai penjaring dalam babak kedua bersama-sama Cavani bagi menjadikan kedudukan 7-1 ketika perlawanan ditamatkan.

"Neymar adalah pemain paling hebat. Dia mahu bermain dalam setiap perlawnaan dan membuatkan semua orang menikmati kehadirannya.

"Kami gembira. Jika kami dapat mengelakkan jaringan Celtic, ia pasti lebih baik.

"Terdapat beberapa bahagian yang masih perlu diperbaiki seperti kehilangan bola, posisi pemain ketika bertahan, pemilihan waktu untuk memanfaatkan ruang yang ada serta pengawalan bola dalam perlawanan tetapi saya tetap lega melihat aksi pemain-pemain," kata Emery.

Pengurus Celtic, Brendan Rodgers, pula mengakui kualiti yang dimiliki PSG, namun berasakan kesilapan-kesilapan mudah daripada anak buahnya membolehkan lawan meraih jaringan dengan mudah.

"Mereka bertarung tetapi kadangkala anda harus mengakui kualiti yang ada pada lawan.

"Bagaimanapun, saya bangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh pemain-pemain walaupun kecewa tewas dengan jaringan yang besar," ujar Rodgers lagi.