PSG 3 CAEN 1

Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, menafikan pemain tengah, Javier Pastore, telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan gergasi Ligue 1 itu.


Sebelum sepak mula dalam kemenangan 3-1 ke atas Caen awal pagi tadi, ejen Pastore, Marceloa Simonian, mendakwa perlawanan itu mungkin menjadi aksi terakhir pemain berusia 28 tahun itu sebelum meninggalkan pasukan berkenaan.

Di sebalik laporan dia akan angkat kaki pada Januari, Pastore, yang mempunyai perjanjian sehingga 2019, hanya beraksi lapan kali dalam kesebelasan utama musim ini dengan mencetak empat gol.

"Saya sangat gembira dengan Pastore," ujar Emery dalam sidang media selepas perlawanan.

"Dia tidak menyatakan dia mahu pergi. Dia berusaha untuk merebut tempat menerusi bakat besar yang dimilikinya."

Kylian Mbappe, yang menyambut hari jadi ke-19, serta Edinson Cavani menjadi inspirasi buat tuan rumah.

Percubaan Mbappe menerjah gawang lawan selepas hampir sejam perlawanan dilangsungkan di Paris sejurus Cavani menghampiri rekod jaringan terbanyak PSG menerusi jaringan ke-155.

Yuri Berchiche melengkapkan tahun gemilang PSG untuk menerajui Ligue 1 dengan tujuh mata sebelum mereka kembali menyambung aksi menentang Rennes pada 7 Januari.

"Adalah bagus untuk menamatkan kempen tahun ini dengan 50 mata. Namun, selepas bercuti, kami perlu berusaha untuk memperbaiki gol yang dibolosi," ujar Emery.

"Dalam separuh musim ini, kami mencapai matlamat awal untuk menjuarai peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan di puncak Ligue 1 dengan kelebihan besar.

"Dua kekalahan di Strasbourg dan Munich memberi maklumat bahawa apa jua boleh berlaku dan apa yang perlu kami usahakan bagi mengelaknya daripada berulang.

"Selain daripada itu, kami menempuhi separuh musim ini dengan cemerlang," kata pengurus berbangsa Sepanyol itu.