Unai Emery meluahkan rasa kesal terhadap mutu pengadilan selepas tidak memberikan sepakan penalti kepada anak buahnya sehingga menyebabkan Paris-Saint Germain (PSG) terpaksa menerima keputusan seri 0-0 menentang Montpellier, awal pagi tadi.

Edinson Cavani dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pemain yang sudah menerima satu kad kuning, Pedro Mendes, ketika permainan berbaki 10 minit namun pengadil perlawanan, Clement Turpin, mengarahkan agar permainan diteruskan.

Ulang tayang video menyaksikan Mendes jelas tidak melakukan apa-apa sentuhan terhadap bola, sekaligus membuatkan Emery kecewa apabila tidak dianugerahkan sepakan penalti.

"Ia satu penalti yang jelas dilihat. Pengadil membuatkan keadaan menjadi berbeza. Semua orang yang menyaksikan perlawanan tidak kira di stadium atau di kaca televisyen pasti bersetuju dengan pendapat saya," kata Emery ketika sidang media selepas perlawanan.

Dalam masa sama, ketumpulan jentera serangan PSG juga disebabkan ketiadaan tonggak utama, Neymar, yang mengalami kecederaan namun bagi Emery, pasukannya tidak boleh terlalu bergantung terhadap kudrat bintang Brazil itu.

"Pujian harus diberikan kepada lawan yang bertahan dengan baik serta menutup segala ruang yang ada.

"Kami bermain seperti apa yang dirancang tetapi gagal menjaringkan gol. Kami mempunyai peluang, malangnya ia tidak digunakan sebaiknya.

"Matlamat utama adalah memenangi perlawanan dan hari ini adalah bukti bahawa satu mata tidak mencukupi. Perlawanan ini memberikan kesedaran besar kepada kami untuk mengenal pasti kekurangan yang ada."