Emery harap PSG kembali lebih kuat memasuki tahun 2017

Oleh Staff Writer 22 Disember 2016 0
Emery harap PSG kembali lebih kuat memasuki tahun 2017

Pengendali Paris Saint-Germain, Unai Emery, memuji aksi dipamerkan anak buahnya dalam kemenangan 5-0 ke atas Lorient dan berharap keputusan itu akan mencetuskan kebangkitan baru dalam misi mempertahankan kejuaraan Ligue 1.

Kemenangan besar tersebut menamatkan tiga perlawanan tanpa kemenangan sebelum ini.

PSG, yang kini menghuni tangga ketiga liga, mengutip tiga mata hasil jaringan Thomas Meunier, Thiago Silva, Edinson Cavani dan Lucas Moura, dengan gol sendiri Zargo Toure memastikan juara bertahan itu tidak ketinggalan jauh di belakang pendahulu, Nice.

Bercakap dalam sidang media, Emery berkata: "Penting untuk kami mengutip tiga mata ini demi mengembalikan keyakinan pemain untuk mempertahankan kejuaraan.

"Pemain semakin menampakkan kemajuan. Kami menang perlawanan ini dan berharap kami akan terus maju. Kami telah pun tewas empat perlawanan di tempat lawan, jadi penting untuk kami bangkit memasuki tahun 2017.

"Jika kami mahu memastikan kejuaraan kekal di Paris, kami tidak boleh tewas. Jadi, penting untuk setiap pemain mempamerkan keazaman. Kami menduduki tempat ketiga ketika ini, kami harus perbaiki kedudukan ini.

"Cuti rehat ini akan membenarkan pemain untuk berehat dan kembali lebih kuat, lebih cergas tahun hadapan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen