Zinedine Zidane tidak terlalu memikirkan mengenai jawatannya di Real Madrid yang mungkin bergantung kejuaraan LaLiga apabila akan berhitung dengan Barcelona, awal pagi esok.

Madrid melangkah masuk ke pertembungan 'El Clasico' itu dengan reputasi hanya menang sekali dalam lima perlawanan termasuk tewas di Levante dalam kempen LaLiga disusuli kekalahan kepada Manchester City dalam Liga Juara-Juara (UCL), pertengahan minggu ini.

Sekiranya mereka tumbang buat kali ketiga berturut-turut dalam perlawanan getir di Santiago Bernabeu, maka juara bertahan, Barca, akan melebarkan kelebihan kepada lima mata bagi pemburuan gelaran itu yang berbaki 12 perlawanan lagi.


Madrid sudah pun terkandas dalam Copa del Rey dan menghadapi tugas besar untuk mengelak hal serupa di peringkat 16 UCL, namun Zidane tidak khuatir mengenai keperluan memenangi gelaran LaLiga untuk terus menduduki kerusi panas itu.

"Saya tidak tahu, soalan itu perlu ditujukan kepada orang lain," katanya dalam sidang akhbar semalam.

"Saya tahu apa yang perlu dilakukan, kami akan cuba memenangi saingan musim ini, itulah yang kami sedang usahakan."

Barca akan tiba di ibu kota Sepanyol itu dengan fakta bahawa mereka tidak pernah tewas di Bernabeu bagi perlawanan liga sejak 2014.

Lebih-lebih lagi, Madrid tidak menang dalam tiga perlawanan di tempat sendiri. Sehubungan itu, pengurus dari Perancis berkenaan mengakui ia bukan situasi yang sempurna menjelang perlawanan bertemu musuh ketat mereka itu.

"Ini adalah tempoh yang sangat sukar kerana sudah tiga perlawanan kami tidak menang di tempat sendiri," katanya lagi.

"Begitupun, ramai yang arif tentang bola sepak tahu bahawa perkara-perkara seperti ini boleh berlaku.

"Kami memerlukan semangat positif, kami tidak menghirukan apa yang dilontarkan terhadap kami. kami memerlukan dorongan penyokong, bermula dari minit pertama sehinggalah minit ke-90.

"Saya faham bahawa penyokong mungkin kecewa tetapi kami memerlukan mereka dan kami akan memberikan segala-galanya."

Sebahagian daripada masalah itu adalah disebabkan ketumpulan di jentera serangan.

Penjaring terbanyak, Karim Benzema, kemarau jaringan dalam lima penampilan terakhir sementara Sergio Ramos merupakan satu-satunya yang menjaringkan lebih tiga gol dalam liga ketika ini.

Biarpun Eden Hazard tidak akan tampil akibat kecederaan manakala Gareth Bale pula hampir sepanjang tahun ini tidak mencetak sebarang gol di laman sendiri, Zidane bertindak menekankan faktor ketika pasukannya tidak terkalah di antara Oktober dan Februari.

"Saya tidak gusar kerana selama empat bulan ini, kami sentiasa meraih kemenangan," katanya mengenai soal kebuntuan jaringan.

"Walaupun tanpa Eden, saya tidak gembira dia tercedera, tetapi kami masih mampu menang. Kami perlu beraksi dengan ampuh."