Pengurus Barcelona, ​​Ronald Koeman, mengakui perlawanan 'El Clasico' yang akan datang lebih mustahak daripada biasa dengan gelaran LaLiga boleh menjadi pertaruhannya.

The Catalan menghambat pendahulu liga, Atletico Madrid, dengan satu mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Real Valladolid, awal pagi tadi, sambil Real Madrid di tempat ketiga dengan dipisahkan dua mata.

Atletico tercicir mata buat kali kelima daripada lapan perlawanan terakhir mereka termasuk kekalahan 0-1 kepada Sevilla, semalam, yang secara tidak langsung membuatkan perlumbaan mengejar gelaran semakin terbentang luas.

Barcelona akan bertandang ke ibu kota Sepanyol untuk bertemu Madrid, awal pagi Ahad ini, sementara Atletico berdepan pasukan di tangga kelima, Real Betis.

"Saya fikir aksi Clasico selalunya penting," kata Koeman.

"Sudah tentu, kali ini ia mungkin lebih penting kerana situasi dalam liga kerana kami dan Real Madrid saling bersaing sengit dengan Atletico Madrid untuk merebut gelaran musim ini.

"Sudah tentu, ini adalah satu perlawanan getir melibat dua pasukan gergasi dalam pertembungan utama di dunia, jadi tentulah keputusannya penting buat kami demi mencerahkan peluang untuk menjulang gelaran."




Barcelona akan melangkah ke El Clasico berbekalkan prestasi liga yang sangat memberangsangkan apabila memenangi enam perlawanan terakhir dan belum tewas dalam 19 perlawanan.

Madrid juga belum tumbang dalam sembilan aksi terakhir liga sambil memenangi ketiga-tiga perlawanan terdahulu.

"Sangat penting untuk menang pada malam ini untuk merapati dengan Atletico dengan satu mata sekarang," tambah Koeman.

"Tetapi Madrid juga menghampiri mereka jadi ia akan meledakkan emosi kami hingga hujung musim ini.

"Kami berusaha dengan baik. Kami yakin mampu memenangi gelaran ini tetapi seperti yang kita lihat hari ini, setiap perlawanan adalah sukar."