Penyerang bola sepak kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, menamatkan zaman bujang apabila menikahi Nur Hazwani Mohd Rasid, semalam.

Apa yang bermula hanya sebagai perkenalan biasa pada 2013, lama-kelamaan membibitkan rasa cinta di antara pemain berusia 24 tahun itu dan isterinya berusia 23 tahun itu.

Majlis persandingan kedua-dua mempelai diadakan meriah di Brewster Village, Ipoh hari ini.

Shahrel atau lebih mesra dengan panggilan Eki berkata perkenalan dengan isterinya bermula di gerai makanan di Dataran Bandaraya Ipoh lima tahun lalu di mana ketika itu rakannya memperkenalkan Nur Hazwani.

"Sejak itu kami berkenalan dan semakin rapat sebelum membuat keputusan tahun lalu untuk mendirikan rumah tangga..

"Ketika itu PKNP FC layak masuk ke Liga Super. Sebelum liga bermula, kami merancang untuk berkahwin dan Alhamdulillah kini kami bergelar suami isteri," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Nur Hazwani yang lebih mesra dipanggil Wani berkata keserasian bersama membuatkannya tertarik kepada Eki hingga membuka hatinya untuk menerimanya sebagai jodoh.

"Dia sabar dengan saya, dengan karenah saya, kerana tidak semua dapat ikut cara saya.

"Sejujurnya saya tidak minat bola sepak tetapi perlahan-lahan apabila saya sudah rapat dengan Eki, minat itu wujud dan menonton perlawanannya di stadium," katanya yang bekerja dengan Lembaga Air Perak (LAP).

Wani mengharapkan Eki terus berjaya dalam sukan bola sepak dan berusaha meningkatkan prestasi serta tidak mudah lupa diri.

"Saya akan menyokong apa jua pilihan atau keputusan yang ingin dibuat Eki mengenai masa depannya dalam bola sepak," katanya.