Pengumuman persaraan Wesley Sneijder mengejutkan ejennya yang menganggap bintang Belanda itu masih mampu mengerah kudrat di atas padang.

Bekas bintang Inter berkenaan berpendapat hari-harinya menikmati perlawanan kompetitif sudah berakhir sejurus Utrecht mengumumkan perjanjian urusan perniagaan yang baru dengan pemain berusia 35 tahun itu.

Bagaimanapun, wakil pengatur serangan itu, Guido Albers, berkata sebarang keputusan muktamad tidak akan dibuat sehinggalah beliau bertemu dengan Sneijder sendiri bagi membincangkan perancangannya.

"Ia adalah satu berita yang amat mengejutkan kami memandangkan dia mengumumkannya dengan cara sebegini," katanya kepada FOX Sports.

"Saya merancang untuk mengadakan pertemuan dengannya Khamis depan bagi membincangkan pilihannya yang masih ada sebelum kami menghebahkannya kepada orang ramai. Jadi, Khamis depan kami akan mendapatkan kepastian adakah dia sudah memuktamadkan keputusannya."

Bercakap mengenai persaraan yang diumumkan pemain itu semalam, beliau meluahkan: "Anggap saja dia tersasul.

"Dia mempunyai beberapa urusan yang perlu diselesaikan di Doha, di mana dia kini menjalani kehidupan di sana manakala masih ada beberapa kelab yang berminat untuk menandatanganinya. Saya ingin memberitahunya tentang hal itu.

"Dia baru sahaja pulang dari Amerika Syarikat (AS). Kami akan berbincang pada Khamis depan sebelum dia memutuskan apa yang perlu dilakukan.

"Biasanya kami perlu berbincang mengenai perkara sebegini tetapi saya fikir dia baru saja mengumumkannya dengan penuh bersemangat."

Sneijder memberitahu saluran TV rasmi Utrecht: "Saya amat mencintai bandar ini. Sekarang saya ingin mengumumkan persaraan, saya menginginkan satu tempat yang bagus untuk berkongsi pengalaman yang dimiliki."

Pemain yang melakukan penampilan terbanyak bersama skuad Oranje itu tidak terikat dengan mana-mana kelab sejak kontraknya dengan Al-Gharafa berakhir bulan lalu.