Ejen Loris Karius, Florian Goll, menolak dakwaan bahawa penjaga gol itu mungkin menamatkan khidmatnya di Besiktas dan kembali ke Liverpool.

Pemain berusia 25 tahun itu berhijrah menyertai juara Liga Super Turki itu melalui pinjaman selama dua tahun selepas The Reds membuat keputusan untuk mendapatkan Alisson dari AS Roma.

Karius melakukan dua kesilapan mudah dalam final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, menyebabkan Liverpool tewas 3-1 di tangan Real Madrid dan kini wujud laporan Besiktas tidak berpuas hati dengan persembahannya.

Dia menjadi punca ketika gol pembukaan dalam aksi Liga Europa sehingga menyebabkan Besiktas tewas 2-0 di tangan Malmo dan dia juga gagal membuat tekaan yang tepat ketika menerima hantaran lintang dalam aksi pertama berdepan Bursaspor.

Besiktas dilaporkan mahu menghantar Karius ke Anfield dan mendapatkan penyerang The Reds, Divock Origi, tetapi ejennya menafikannya.

"Ia sangat tidak masuk akal," kata Goll.

"Saya tidak pasti dari mana datangnya perkara itu. Ia tidak benar.

"Karius sedang dalam tempoh pinjaman bersama kami selama dua tahun. Pihak kelab tidak bercadang untuk menamatkan kontrak pinjamannya lebih awal.

"Karius adalah pilihan nombor satu di Besiktas, dia beraksi dalam semua perlawanan serta menampilkan persembahan bagus."