Unai Emery berasakan sumbangan dua gol oleh Edinson Cavani dalam membantu Paris Saint-Germain melakar kemenangan 2-0 ke atas Bordeaux sangat kritikal dalam meningkatkan keyakinan rakan sepasukan terhadap penyerang Uruguay itu.

Cavani membuka tirai jaringan menerusi tandukan sebelum meledak gol kedua selepas menerima hantaran Layvin Kurzawa.

Prestasi PSG mungkin tidak menentu musim ini namun itu bukan halangan buat Cavani yang telah pun meledak lapan gol setakat ini dan Emery yakin kehilangan Zlatan Ibrahimovic tidak akan dirasai jika bekas penyerang Napoli itu meneruskan kecemerlangannya.

"Sangat penting untuk dia menjaringkan gol," Emery memberitahu BeIN Sports. "Ia memberikan keyakinan terhadap dirinya dan rakan sepasukan yang bergantung kepadanya. Itu sesuatu yang bagus."

Emery turut memuji aksi Hatem Ben Arfa, yang kini telah diberi kepercayaan sejak menempuh perjalanan sukar di awal musim.

"Dia memasuki padang dengan motivasi tinggi, dia beraksi dengan baik dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan.

"Namun dia masih perlu bekerja lebih keras."