Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terus mengorak langkah dalam memajukan Liga Malaysia ke arah lebih positif dengan mengadakan bengkel Program Kawalan Ekonomi (ECP) bersama rakan kongsinya di Hotel Tenera, Bangi semalam.

Sebelum ini, badan pengelola Liga Malaysia itu mengumumkan akan melaksanakan ECP secara berperingkat.

Program itu bertujuan untuk memastikan kewangan setiap pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana berada dalam keadaan yang lebih baik.

La Liga, yang merupakan pengendali Liga Sepanyol, adalah badan pertama melaksanakan program itu dan berhasil menyelesaikan masalah kewangan kelab di negara itu.

Program itu akan diadaptasi untuk disesuaikan dengan acuan Liga Malaysia selaras dengan rangka tindakan strategik Next50 MFL.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, peraturan baru itu yang akan diperkenalkan musim depan, bertujuan untuk memberikan tumpuan kepada aspek peraturan kewangan bagi mengawal dan mendidik setiap pasukan untuk berbelanja secara berhemah.

Tambahnya, ECP akan terus diperluaskan untuk meliputi bidang lain, antaranya peraturan pemilikan pemasaran dan kelab bermula dari 2021 sehingga 2024.

"Lembaga Pengarah MFL telah bersetuju untuk ECP dijalankan secepat mungkin, iaitu bermula pada tahun depan.

"Ia merupakan salah satu penekanan kami sebagai pihak liga dan setiap pasukan perlu patuh dengan prosedur dan objektif ECP," katanya.