Edin Dzeko kembali ke England dan kali ini bersama AS Roma dengan keyakinan bahawa dia telah dibentuk menjadi pemain yang lebih baik daripada ketika memperkuatkan Manchester City dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penggempur Bosnia-Herzegovina itu menyumbat 72 gol sepanjang empat tahun bersama City sebelum berhijrah ke ibu negara Itali itu melalui pinjaman pada Ogos 2015.

Selepas menjadikan langkah itu secara perpindahan tetap, Dzeko menikmati kempen prolifik pada musim lalu dengan melakar rekod baru kelab dengan 39 gol, termasuk 29 gol dalam saingan Serie A.

Menjelang pertemuan dengan Chelsea dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) pagi esok, Dzeko ditanya adakah dia kini adalah permainan berbeza dan pemain yang lebih baik daripada beberapa tahun lalu.

Pemain berusia berusia 31 tahun itu menjawabnya sambil tersenyum: "Saya tidak tahu. Saya berasakan ia betul. Lebih berusia lebih baik, seperti yang mereka katakan.

"Saya berasa baik, sihat dan itu perkara paling mustahak. Dalam tempoh dua setengah tahun di Itali, saya gembira dengan apa yang dilakukan. Kesemua gol yang disumbat itu sumbangan rakan sepasukan juga. Mereka sangat hebat.

"Saya tidak mahu berhenti dan akan terus menjadi lebih baik."

Prestasi Dzeko mendapat pengiktirafan pada awal bulan ini apabila tercalon dalam senarai pendek 30 pemain untuk Anugerah Ballon d'Or.

"Saya tidak akan (memenangi anugerah itu)," tambahnya. "Saya cuma bangga apabila disenaraikan. Sekali lagi saya berterima kasih kepada rakan sepasukan."

Dzeko menjangkakan kebangkitan Chelsea yang tewas dalam dua aksi terakhir liga, termasuk kekalahan mengejut 2-1 kepada kelab di tangga terbawah, Crystal Palace, hujung minggu lalu.

"Itulah EPL. Anda boleh menang ke atas pasukan handalan dan tewas kepada pasukan tercorot.

"Chelsea sebuah pasukan mantap dengan kehadiran pemain terbilang. Ia akan menjadi lebih sukar buat kami. Kami mungkin akan menghadapi sebuah pasukan yang terluka. Pengendali mereka pasti akan memberi mereka tekanan.

"Kami tidak tiba di sini untuk kalah, kami hadir untuk memberikan yang terbaik dan meraih keputusan positif."