CSKA MOSCOW 1 AS ROMA 2

Edin Dzeko boleh melakukan dengan lebih baik, namun Roma perlu lebih kemas sebagai satu pasukan, kata ketua jurulatih AS Roma, Eusebio Di Francesco.


Roma meraih kemenangan 2-1 ke atas CSKA Moscow yang beraksi 10 pemain untuk melonjakkan peluang mereka dalam aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Kemenangan itu, bagaimanapun, memaparkan ketumpulan penyudah daripada penyerang Roma, Edin Dzeko.

Penyerang Bosnia-Herzegovina itu hanya mampu melakukan satu percubaan tepat daripada lima peluang yang dimilikinya untuk tugas menjaringkan gol terpaksa diselesaikan Kostas Manolas dan Lorenzo Pellegrini.

Di Francesco berasakan pasukannya itu mampu memperoleh lebih gol, namun kegagalan itu merupakan kegagalan sepasukan.

"Edin sentiasa boleh memberikan yang lebih baik kerana dia sangat berbahaya.

"Dia memerlukan lebih bantuan untuk beraksi lebih baik," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Adakalanya kami lebih memerlukan percubaan berbanding hantaran.

"Kami perlu memperbaiki aspek ini, namun kami mempunyai ramai pemain muda yang perlu menimba pengalaman.

"Ia keputusan yang baik, namun kami boleh melakukannya dengan lebih baik.

"Kami tidak boleh berpuas hati dengan apa yang kami ada kerana kami ada potensi untuk melakukan lebih baik.

"Saya tidak mahu kami bergantung kepada nasib," tambahnya.

CSKA menyamakan kedudukan menerusi Arnor Siggurdsson dalam separuh masa kedua, namun layangan kad kuning kedua Hordur Magnusson memusnahkan impian mereka.

Skuad Viktor Goncharenko itu hanya memenangi satu daripada tujuh perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan.

Bagaimanapun, Goncharenko berkata: "Saya tidak mahu katakan kami mempamerkan aksi buruk.

"Kami menyerang dengan baik dan mempamerkan aksi meyakinkan.

"Ia lebih mencabar buat kami apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

"Setiap perlawanan berbeza dan pasukan kami terlalu muda. Ia mungkin jawapan kepada segala situasi itu," katanya lagi.