Alan Dzagoev telah kembali menyertai sesi latihan Russia bagi menghadapi saingan suku akhir berdepan Croatia pada awal pagi Ahad ini dan menegaskan dia bersedia untuk beraksi di Sochi.

Pemain berusia 28 tahun itu tidak membarisi pasukan bimbingan Stanislav Cherchesov itu sejak mengalami kecederaan paha selepas 24 minit beraksi dalam kemenangan 5-0 ke atas Arab Saudi, menyaksikan penggantinya, Denis Cheryshev, menyumbat dua gol.

Dia berada di bangku simpanan ketika penentuan sepakan penalti menentang Sepanyol dalam pusingan kedua dan terlepas sesi latihan pada Rabu lalu kerana masalah otot belakang, namun kini menegaskan telah bersedia untuk kembali dalam kesebelasan utama jika diperlukan.

"Ia adalah kecederaan lama tetapi hari ini saya telah berlatih dan bersedia untuk perlawanan," kata Dzagoev.

"Kami melalui Piala Dunia yang hebat di Russia dan pasukan yang tersingkir layak menanggungnya."

Dzagoev menjaringkan tiga gol dalam 21 penampilan bersama CSKA Moscow bagi musim 2017/18 dan dia turut menegaskan Cherchesov masih belum mendedahkan percaturannya untuk menghadapi ancaman Croatia.

Sepakan penalti dalam babak pertama daripada Artem Dzyuba menyaksikan Sepanyol dikekang sehingga tamat masa sebenar, sebelum tendangan penalti Iago Aspas dan Koke dinafikan untuk memberi laluan buat Russia ke suku akhir, namun Dzagoev berpendapat pasukannya tidak akan menerapkan pendekatan sama.

"Segalanya bergantung kepada lawan. Sepanyol mampu mengawasi mana-mana pasukan, jadi kami tidak boleh bermain di tahap sebenar.

"Untuk pertemuan dengan Croatia, Cherchesov akan memberitahu apa yang perlu dilakukan. Saya harap kami dapat bermain bola sepak dalam aksi seterusnya.

"Saya rasa Croatia kecewa kerana terpaksa menghadapi kami kerana kami adalah tuan rumah. Seluruh Russia akan menyokong kami dan diharapkan mereka tidak akan dikecewakan."